Biography
Sharifah Nurul Sakinah binti Syed Abu Bakar Al-Khaired (lahir 28 Mei 1989; Jawi: شريفه سكينه) ialah pelakon, pelawak dan pengacara Malaysia, terkenal menerusi lakonannya dalam TV dan filem. Sakinah mendapat perhatian menerusi sitkom Hotel Mania (2010). Sejak itu, beliau membintangi siri komedi seperti Bimbi & Bonnie (2013) dan Yem Rempit (2014), yang mana beliau memenangi Anugerah Lawak Warna 2014 bagi kategori Artis Lawak Wanita Paling Popular.
Sakinah juga telah membintangi beberapa filem, termasuk Ular (2013), Kimchi Untuk Awak (2017) dan Rise: Ini Kalilah (2018). Beliau juga telah membintangi sejumlah siri drama TV, termasuk Dendam Sarakit (2012), Benci Vs Cinta (2013), Suamiku Mat Piun (2018) dan Voice Note (2019). Beliau ialah adik kepada pelakon dan pelawak, Sharifah Haslinda dan Sharifah Shahirah
Beliau memulakan kerjaya lakonan menerusi sitkom muzikal komedi Hotel Mania (2010) di bawah arahan Nizam Zakaria terbitan KRU Studios. Belau kemudian menempa nama dalam beberapa siri komedi pada tahun 2013-2014 iaitu Bimbi & Bonnie, Havoc Warna dan Yem Rempit. Peranan layar lebar hadir apabila Sakinah membintangi filem sulungnya, Ular (2013) arahan Yusry Abdul Halim lakonan bersama Yusry dan Lisa Surihani.
Beliau memenangi Artis Lawak Wanita Popular di Anugerah Lawak Warna ke-2 pada tahun 2014. Pada tahun itu juga, beliau telah membintangi telefilem Racun Menantu arahan Michael Ang yang memberi kesan terhadap penonton. Dalam pada itu beliau juga turut berlakon dalam telefilem Kubur Berdarah pada 2015. Rata-rata memuji lakonan beliau. Beliau sering melakonkan watak-watak mencabar yang lain dalam drama lakonannya. Beliau diterima baik sebagai pelakon membawa watak psiko yang berat, komedi mahupun antagonis.
Pada tahun 2016, beliau membuat penampilan muzik video sulungnya apabila muncul dalam muzik video lagu “Andainya Takdir” nyanyian Anuar Zain. Turut membintangi muzik video itu ialah Puteri Balqis. Beliau kemudian berlakon dalam filem Pekak lakonan bersama Zahiril Adzim dan Sharifah Amani.
Pada tahun 2017, Sakinah berlakon di samping Emma Maembong dan Aiman Hakim Ridza dengan melakonkan watak sebagai Min Ah dalam filem Kimchi Untuk Awak yang diadaptasi dari novel 2015 bertajuk sama karya Suri Ryana. Turut membintangi filem itu ialah Janna Nick dan Natasha Elyzza. Pada masa yang sama, beliau digandingkan bersama Aiman Hakim menerusi telefilem Girlfriend Aku Dari Neraka dan siri TV susulannya, Girlfriend Aku Dari Neraka The Series; beliau memegang watak sebagai Lidya.
Sakinah memegang watak sebagai Nieza dalam drama komedi Suamiku Mat Piun di TV3 dan sebagai Jasmine dalam drama romantik Selafaz Cinta. Sakinah juga melakonkan watak isteri pegawai polis dalam filem drama politik Rise: Ini Kalilah (2018). Setahun berikutnya, iaitu pada 2019, beliau berlakon dalam drama misteri Voice Note sebagai Sara. Selain beliau, pelakon lain termasuk pendatang baru, Shasha Abedul dan Scha Elinnea. Beliau kemudian muncul dalam drama Utusan Cinta Buat Adam dengan melakonkan watak sebagai Liyana. Sakinah juga melakonkan watak sama dalam filem aksi Rise To Power: KLGU (2019).
Beliau melakonkan watak sebagai Laila dalam siri drama separa-seram Aku Yang Kau Gelar Isteri arahan Shuhaimi Lua Abdullah yang bersiaran di TV3. Ia turut dibintangi oleh Lana Nordin dan Nadia Brian.