Biography

Nur Zahirah MacWilson Zainol Johari MacWilson (lahir 1 Febuari 1995) adalah seorang pelakon dan model wanita Malaysia.

Zahirah dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Sheffield, London dan Perth, Australia serta mempunyai darah campuran British di sebelah bapanya dan Melayu di sebelah ibunya. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Bapanya ialah Zainol Johari MacWilson yang merupakan bekas penyampai berita TV3 dan ibunya ialah Maslinda Yusoff. Zahirah berkelulusan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Curtin di Perth, Australia

Memulakan kerjaya awalnya sebagai model pada usia 10 tahun ketika di bangku sekolah, Zahirah memulakan kerjaya lakonan profesional pada 2005 menerusi drama orientasi remaja Dunia Generasi Baru dengan memegang watak Zahar, diikuti oleh watak Dr. Katrina dalam HidayahMu Ramadan. Namanya mula menjadi perhatian ramai selepas membintangi drama Mencintaimu bersama Sharnaaz Ahmad, Zahirah memegang watak Annisa. Drama ini mengisahkan perjalanan cinta antara Anissa dan Hisham, Anissa seorang yang bercita-cita tinggi dan mahu sambung belajar di universiti.

Kejayaan seterusnya dikecapi oleh Zahirah ialah menerusi gandingannya bersama Shukri Yahaya menerusi drama Cik Cinderella dan Encik Tengku memegang watak Puteri Nura. Beliau kembali menjayakan wataknya dalam telefilem khas Aidilfitri, Cik Cinderella dan Encik Tengkuk Raya.

Zahirah memegang watak Athea Irdeena dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu bersama Syafiq Kyle yang bersiaran di Astro Ria, menggantikan Lafazkan Kalimah Cintamu lakonan Farid Kamil dan Nelydia Senrose. Zahirah kemudiannya membintangi drama adaptasi novel karya Emy Roberto, Jangan Benci Cintaku bersama Saharul Ridzwan yang bersiaran di TV3 dengan memegang watak Rafeeqa Huda.

Zahirah membintangi filem sulung lakonannya, Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar, di mana beliau memegang watak sebagai Bulan, pelatih pasukan tentera khas Indonesia menjejaki sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati (dilakonkan oleh Aprena Manrose) yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia. Untuk menjayakan watak Bulan, Zahirah mempersiapkan dirinya dengan berlatih menggunakan senjata sebelum ke set penggambaran