Siri ini berkisar kematian Syerinie yang telah dibunuh dengan kejam. Fatema (dilakonkan oleh Zahirah Macwilson), seorang wartawan Harian Metro, berhasrat untuk membuat liputan bagi kes yang menggegarkan negara ini. Namun, permintaannya tidak diluluskan oleh editornya. Sebaliknya, liputan ini ditugaskan kepada rakan sejawatnya, Rozimi (dilakonkan oleh Aloy Paradoks).
Fatema sememangnya seorang yang panas baran. Maka tidak hairanlah yang dia telah membuat keputusan untuk melanggar arahan dan bekerjasama dengan Rozimi.
Temu bual bersama saksi kejadian telah membawa kepada penemuan butiran yang telah dikaburkan oleh pihak polis. Menurut saksi, dia ada terlihat seorang lelaki yang mungkin adalah pembunuh Syerinie.
Hanya Fatema dan Rozimi yang melaporkan tentang kelibat lelaki misteri ini. Perkara ini memberi kelebihan kepada Harian Metro.
Pada keesokan harinya, suspek utama telah ditahan. Namun, jejaka tersebut bukanlah lelaki yang dilihat oleh saksi kejadian. Maka, soalan yang perlu diselesaikan menerusi 10 episod siri ini adalah: ‘Siapa Lelaki Itu?’